Abang Johari: Ketua-ketua masyarakat sebahagian daripada kerajaan

Abang Johari Tun Openg

KUCHING, 17 Dis: Ketua-ketua masyarakat adalah pemimpin akar umbi yang merupakan sebahagian daripada kerajaan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, pemimpin akar umbi ini mengetahui apa yang berlaku di kawasan masing-masing dan berhubung dengan residen di setiap bahagian.

“Ketua masyarakat dan residen akan bersama dengan wakil rakyat untuk mencadangkan pembangunan yang harus dilaksanakan di kawasan masing-masing.


“Oleh sebab itu di dalam sistem pentadbiran, kita ada temenggung (paling tinggi), pemanca, penghulu, ketua kaum dan tuai rumah.

“Ini adalah cara kita mentadbir iaitu daripada akar umbi hinggalah ke atas,” katanya di Majlis Perjumpaan Dengan Ketua-Ketua Masyarakat Dan Ketua-Ketua Kaum di Mukah hari ini.

Tambah Abang Johari, ketua masyarakat dan kerajaan sentiasa bersama dan ia adalah cara yang digunakan oleh kerajaan untuk mentadbir negeri sejak dahulu lagi.

Ujar beliau, ketua masyarakat mesti tahu hala tuju kerajaan iaitu dasar yang dipraktikkan dengan mengambil kira akar umbi.

“Pemimpin pemimpin kita ada dasar yang melihat masa depan. Lihatlah Mukah sekarang yang membangun bersama Bintulu.

“Mukah sudah ada Politeknik, Maktab Rendah Sainas Mara (MRSM) dan Pusat Kecemerlangan Teknikel Sarawak (CENTEXS).

“Kawasan Telian dan Balingian sudah membangun. Malah Mukah juga menjadi model kepada pembangunan di kawasan lain di Sarawak,” ujar Abang Johari.

Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak Dato Hanifah Hajar dan Menteri Kebajikan, Kesejateraan Komunti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah. — DayakDaily