Abang Johari, Juma’ani beri penghormatan terakhir buat Masing

Kelihatan Abang Johari memberikan penghormatan terakhir kepada rakannya mendiang Masing di Kuching.

KUCHING, 3 Nov: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini tiba di Association of Churches in Sarawak (ACS), Jalan Stampin bagi memberi penghormatan terakhir kepada Timbalan Ketua Menteri mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Abang Johari yang ditemani isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang tiba pada jam 9 pagi.

Turut serta Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah dan barisan Kabinet Negeri yang lain.


Acara penghormatan terakhir oleh para tetamu kehormat dimulakan dengan ucapan eulogi oleh Ketua Wanita Parti Rakyat Sarawak(PRS) Dato Sri Doris Brodie.

Ini diiikuti oleh ucapan eulogi oleh kesemua anak mendiang yang dimulakan Anna Sulan, Rachel Lian, Ashley Layo, Karen Julan dan Emma Maria.

Selesai ucapan, Abang Johari serta isteri tampil memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Masing dan diikuti oleh Uggah serta isteri Datuk Doreen Mayang.

Ini diikuti Speaker Dewan Undangan Negeri(DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pendidikan, Sains Dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Turut serta Menteri Belia Dan Sukan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga Dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah, dan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

Abang Johari serta isteri seterusnya meninggalkan acara pada jam 9.40 pagi.

Dalam pada itu, rakan-rakan dan orang ramai diberi peluang memberi penghormatan terakhir mulai 10.30 pagi hingga 1.30 petang.

Kemudiannya pada jam 2 petang, mendiang akan dibawa ke Nirvana Memorial Park bagi upacara pengebumian.

Masing, 72, yang juga ADUN Baleh meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching pada jam 7.05 pagi Ahad (31 Okt).

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak pada September lalu selepas disahkan positif Covid-19 dan kemudian dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan. — DayakDaily