Abang Johari: GPS telah mengurus Sarawak dengan baik, rakyat dapat menilai

Abang Johari (tengah) berucap semasa sidang media setelah selesai proses penamaan calon di Gedong.

GEDONG, 6 Dis: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin rakyat dapat menilai apa yang kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah lakukan dalam tempoh lima tahun lepas.

Katanya yang juga Pengerusi GPS, kerajaan Sarawak kini telah mentadbir dan menguruskan negeri ini dengan baik di sepanjang tempoh tersebut.

“Pada 8 Disember ini nanti kita akan memaklumkan manifesto pilihanraya GPS.

“Setakat ini, apa yang telah kita janjikan pada 2016 telah kita tunaikan.

“Walaupun ada pihak mengatakan manifesto ini bukanlah seperti Kitab Injil, tetapi bagi kita ia satu kejadian yang harus kita laksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai proses penamaan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N26 Gedong di Pusat Khidmat Gedong di sini, hari ini.

Abang Johari buat pertama kalinya bertanding di kerusi DUN N26 Gedong menggantikan penyandangnya Datuk Mohd Naroden Majais.

Berhubung proses penamaan calon hari ini, beliau berkata ia telah dilaksanakan dengan lancar di seluruh negeri dengan pematuhan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang telah ditetapkan.

Katanya, pilihanraya ini memberi peluang kepada rakyat untuk menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan bagi tempoh lima tahun akan datang. — DayakDaily