Abang Johari dicabar 3 calon lain di DUN Gedong

Abang Johari (dua dari kanan) bersama tiga lagi pencabar, Tomson(kiri), Mohammad Sofian (dua dari kiri) dan Kamal (kanan).
Advertisement

Gedong, 6 Dis: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan berdepan tiga lagi saingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung 18 Dis ini.

Abang Johari akan berdepan calon daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan AMANAH.

PSB meletakkan Mohamad Sofian Fariz Sharbini, 36, manakala PBK pula meletakkan Thomson Ango, 56.

Advertisement

Parti AMANAH meletakan Kamal Bujang, 58, sekaligus menyaksikan pertembungan empat penjuru untuk DUN Gedong.

Proses penamaan calon bagi DUN Gedong berlangsung di Dewan Masyarakat Gedong di sini, pagi tadi.

Abang Johari adalah penyandang DUN Satok yang dimenanginya selama sembilan penggal berturut-turut bermula pada PRN tahun 1981, 1983, 1991, 1996, 2001, 2006, 2011 dan 2016.

Pada PRN kali ini, beliau bertanding di DUN Gedong menggantikan penyandangnya Datuk Mohd Naroden Majais.

Abang Johari daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.02 pagi.

Tomson dari PBK menyerahkan borang pukul 9.04 dan calon daripada AMANAH, Kamal pada pukul 9.11 pagi.

Calon PSB Mohammad Sofian pula menyerahkan borang pemcalonan pada pukul 9.14 pagi.

Perkara tersebut diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Gedong Abdul Khalid Manap selepas selesai proses penamaan calon yang dibuka pada pukul 9 pagi tadi.

Hari ini Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak membuka tirai dengan 82 kerusi DUN akan dipertandingkan. — DayakDaily

Advertisement