Abang Johari bertanding di DUN Gedong?

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

Oleh Chris Bishop

GEDONG, 17 Nov: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membayangkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Gedong pada Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12).

Berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Terenggas ke Gedong di Dewan Terbuka Gedong hari ini, beliau berkata masih mempertimbangkan keputusan tersebut.


“Datuk Naroden (Datuk Mohd Naroden Majais, penyandang DUN Gedong) telah awal mengumumkan hasrat ingin berhenti. Terima kasih Naroden kerana memberi ruang kepada saya.

“Tetapi ini masih awal, belum tahu saya pindah atau tidak. Hendak ditolak susah, diterima susah.

“Saya akan mempertimbangkan untuk bertukar, saya perlu buat keputusan dan perlu memberitahu orang Satok,” katanya.

Tambah Abang Johari, sebagai Ketua Menteri beliau melihat semua kawasan samada Simunjan, Gedong, Satok dan yang lain.

Pada PRN11 lalu, Abang Johari mempertahan kerusi DUN Satok untuk kali kelapan setelah mengalahkan pencabarnya Mohammad Salleh Shawkatali daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat 24 November ini untuk menetapkan tarikh PRN12. — DayakDaily