Abang Johari bergerak menuju Dewan Masyarakat Gedong

Abang Johari tiba di Pusat Penamatan Calon DUN Gedong.
Advertisement

GEDONG, 6 Dis: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Pusat Penamaan Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong di Dewan Masyarakat Gedong, jam 8.55 pagi ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri dan Pengerusi GPS buat pertama kalinya bertanding di kerusi tersebut menggantikan penyandangnya Datuk Mohd Naroden Majais.

Setakat ini (9 pagi), empat calon tiba di Dewan Masyarakat Gedong untuk menyerahkan borang pencalonan.

Advertisement

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Abdul Khalid Manap mengumumkan calon bertanding boleh menyerahkan borang pencalonan bermula jam 9 pagi.

Calon boleh menyerahkan borang pencalonan sehingga jam 10 pagi ini.

Terdahulu, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Tomson Ango menjadi calon pertama tiba di Dewan Masyarakat Gedong pagi ini.

Ini diikuti oleh calon daripada Parti Amanah Negara (Amanah) Kamal Bujang dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) Mohamad Sofian Fariz Sharbini.

Dun Gedong dijangka berdepan saingan empat penjuru.

Abang Johari adalah penyandang DUN Satok yang dimenanginya selama sembilan penggal berturut-turut bermula pada Pilihan Raya Negeri tahun 1981, 1983, 1991, 1996, 2001, 2006, 2011 dan 2016.

Sementara Naroden pula adalah ADUN Gedong yang dimenanginya pada 2016.

Ia adalah kawasan baharu hasil persempadanan semula sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) pada 2016.

Hari ini Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak membuka tirai dengan 82 kerusi DUN akan dipertandingkan. — DayakDaily

Advertisement