91 individu disyaki terlibat judi haram dicekup

Anggota polis menahan individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti menjual loteri haram.
Advertisement

KUCHING, Feb 19: Seramai 91 kaki judi yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi haram dicekup di seluruh negeri ini pada minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, kesemua individu yang diberkas menerusi 33 serbuan itu berumur antara 19 hingga 70 tahun.

Jelas Dev, serbuan berasingan terbabit telah dilakukan mulai Feb 12 hingga 18 lalu.

Advertisement

“Polis telah melancarkan serbuan di Kota Samarahan, Betong, Serian, Dalat, Sri Aman, Kuching, Miri, Bintulu, Sibu, Padawan, Bau, Simunjan dan Sarikei.

“33 serbuan yang dilakukan itu memberi tumpuan ke atas premis menjual loteri haram, judi dalam talian, rumah judi, pusat judi terbuka serta gelanggang sabung ayam,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Dev memberitahu, hasil daripada semua serbuan, pihak polis telah merampas wang berjumpa RM13,990 disyaki hasil kegiatan haram tersebut.

Katanya, polis turut merampas pelbagai peralatan seperti telefon bimbit, mesin cetak mudah alih, kalkulator, slip pertaruhan serta barangan lain yang dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian haram itu.

“Polis turut merampas dua ekor ayam sabung yang masih hidup. Selain itu, dua ekor ayam sabung yang mati disyaki akibat judi sabung ayam turut dirampas.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Ordinan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan 1952,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement