85 anak yatim diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama Ketua Menteri

Kelihatan Abang Johari (memakai putih) bersama anak-anak yatim dari Rumah Kanak-Kanak Batu 12 di majlis berbuka puasa di BCCK.

KUCHING, Mei 29: Seramai 85 anak-anak yatim dari Rumah Kanak-Kanak Batu 12 diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut hadir memeriahkan majlis anjuran BCCK itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BCCK, Eric van Piggelen memberitahu, matlamat program berbuka puasa bersama anak-anak yatim itu adalah untuk mengambil peluang melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan dalam bulan Ramadan yang mulia dan penuh berkat ini.


Katanya, selain berbuka puasa, BCCK dengan rasa rendah hati menyalurkan sumbangan kepada anak-anak yatim yang terlibat.

“Diharapkan sumbangan ini akan menjadi lebih bermakna kepada anak-anak dan semoga sambutan Hari Raya nanti akan lebih ceria.”

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Sarawak Dr Abdul Rahman Junaidi.

Mengulas lanjut, van Piggelen memberitahu, pihaknya menyifatkan usaha itu sebagai perkongsian rezeki bersama golongan kurang bernasib baik.

“Tahun ini kita pilih untuk meraikan anak yatim pada majlis berbuka puasa. Program ini lebih kepada hendak memberi sumbangan balik kepada masyarakat,” ujarnya. — DayakDaily