KOTA SAMARAHAN, 13 Okt: Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Sarawak mensasarkan seramai 80,000 penduduk negeri ini akan menyertai acara program Hari Sukan Negara peringkat negeri Sarawak.
Pengarahnya, Mohd Nizam Ismail berkata pihaknya sudah merancang mengadakan sebanyak 177 acara dan aktiviti bersukan di seluruh negeri ini bagi mencapai sasaran terbabit.
“Kalau (Hari Sukan Negara) peringkat kebangsaan mensasarkan penyertaan sebanyak satu juta orang, di peringkat negeri Sarawak kita mensasarkan sekurang-kurangnya 80,000 orang bersama kita di setiap pelusuk wilayah Sarawak, baik di sekolah, desa atau institusi pengajian tinggi,” katanya ketika melancarkan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sarawak 2018 di sini, hari ini.
Mohd Nizam berkata tahun ini, bahagian Samarahan menjadi tuan rumah program terbabit bagi negeri ini dan berikutan itu, pihaknya sudah merancang sekurangnya 20 aktiviti bersukan bagi disertai penduduk.
“Acara juga masuk tahun ke-empat diadakan hari ini, sudah pasti ada sedikit perbezaan berbanding tahun sebelum ini yang lebih banyak bersifat promosi. Tahun ini kita mengharapkan penyertaannya atas keinginan masyarakat itu sendiri dalam memumpuk budaya bersukan,” katanya.
Program terbabit, diadakan setiap minggu kedua bulan Oktober setiap tahun bagi mengalakkan penduduk negara ini bersukan dan seterusnya menjadi negara sukan, telah dirasmikan dengan di peringkat kebangsaan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Sementara itu, program Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sarawak di Samarahan, yang diadakan pada 12-13 Okt di sebuah pusat membeli-belah, melihat pelbagai acara menarik yang diadakan khas bagi penggiat sukan dan pengunjung.
Antaranya futsal, e-sport (Mobile Legend), pertandingan lelaki dan wanita cergas dan kuat, pertandingan badan cantik, expo sukan, pertandingan gusti lengan, aerobathon, demonstrasi seni mempertahankan diri, tarian kerusi roda (orang kelainan upaya), Ikon Sukan 2018 dan bola sepak sembilan sebelah. — DayakDaily