8 rumah panjang di Dudong lulus permohonan naiktaraf dari HDC

Wong Ching Yong

KUCHING, 14 Mei: Sebanyak 8 buah rumah panjang di kawasan Dudong telah berjaya di dalam permohonan pinjaman bagi projek naiktaraf rumah panjang masing-masing daripada Lembaga Pembangunan Perumahan (HDC).

Ketua Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong Wong Ching Yong berkata, ia dijayakan melalui bantuan dan sokongan Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian.

“Namun demikian, Tuai Rumah telah memberitahu saya bahawa mereka masih kekurangan RM30,000 disebabkan kos bahan binaan yang telah meningkat sebanyak 30 peratus.

“Mereka berharap Timbalan Premier (Dr Sim) boleh membantu mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 200 permohonan untuk membaikpulih rumah panjang telah diserahkan kepada Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC) denganm geran sebanyak RM17,000 bagi setiap isi rumah.

Wong juga memaklumkan bahawa Dr Sim bersama Setiauasaha Tetap Kementerian Utiliti Dato Ir Alice Jawan telah meluluskan projek Skim Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) kepada 27 buah kampung di Dudong.

Katanya, ini termasuk meluluskan sebanyak 631 biji tangki air yang bernilai RM631,000 untuk diagihkan kepada penduduk pada tahun lepas.

“Lembaga Air Sibu juga telah meluluskan permohonan untuk memasang bekalan air ke Rumah Anggau ak Minggat dengan anggaran projek RM1.6 juta.

“Rumah Anggau anak Minggat ialah sebuah rumah panjang terpencil dengan jarak 7.5km dari Jalan Oya.

“TR Anggap dan bapanya telah memohon bekalan air selama bertahun-tahun,” ujar Wong.— DayakDaily