78 cawangan Saberkas telah berjaya ditubuhkan

Abdul Karim (duduk tengah) pada sidang media di Kuching hari ini.

KUCHING, 28 Mac: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) sehingga kini telah menubuhkan 78 cawangan di seluruh negeri.

Presidennya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia selaras dengan usaha pertubuhan untuk menubuhkan setiap cawangan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Saberkas berhasrat untuk menubuhkan 82 cawangan iaitu di setiap 82 kawasan DUN.


“Dan yang tercapai sehingga kini ialah 78 cawangan dengan baki 4 lagi akan ditubuhkan dalam tempoh 2 hingga 3 bulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Saberkas Ke-54 di sini, hari ini.

Tambah Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, empat kawasan DUN yang belum menubuhkan cawangan terletak di kawasan pesisir di utara Sarawak.

Katanya, ia mesti ditubuhkan segera demi kebaikan para belia di kawasan tersebut.

“Ini adalah kerana Saberkas pada mesyuarat sebentar tadi bersetuju memperuntukan RM21,000 kepada setiap cawangan.

“Peruntukan ini digunakan untuk penganjuran acara dan aktiviti tahunan di setiap cawangan,” katanya sambil berkata Saberkas dalam tempoh setahun ini telah berjaya menganjur lebih 350 aktiviti.

Menurut beliau lagi, Saberkas adalah satu pertubuhan bukan politik dan ahli-ahlinya daripada pelbagai golongan masyarakat.

Dalam pada itu tambah Abdul Karim, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi penganjuran pelbagai acara bagi menyambut jubli emas penubuhan Saberkas pada tahun 2023. ― DayakDaily