748 Point of Presence dirancang diwujudkan di Sarawak — Teo

Teo (barisan hadapan, tiga dari kiri) bersama tetamu lain di hadapan projek PoP di Santubong.

KUCHING, 18 Dis: Kerajaan merancang mewujudkan sebanyak 748 Point of Presence (PoP) di Sarawak menerusi Fasa 1 dan 2, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Menurut beliau, Projek PoP akan menjadikan kawasan sekolah dan kawasan perindustrian sebagai hub gentian optik.

“Projek PoP menyediakan infrastruktur jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi.


“Ia untuk kegunaan premis kediaman, premis Kerajaan serta komuniti berhampiran sekitarnya yang berada di lingkungan radius 2.5km,” katanya pada lawatan kerja ke Projek PoP di SK Santubong hari ini.

Tambah Teo, menerusi Fasa 1, sebanyak RM84 juta diperuntukan untuk Syarikat TM Technology Services dan RM4.4 juta untuk Syarikat VC Telecoms Sdn. Bhd.

Manakala bagi Fasa 2 pula, RM1.08 bilion diperuntukan untuk Syarikat Borneo Restu yang melaksanakan projek ini bermula November 2022.

“Menerusi Fasa 1, sebanyak 60 PoP telah berjaya disiapkan sepenuhnya oleh Syarikat TM Technology Services dan mempunyai 2,862 langganan.

“Selain itu, sebanyak 7 PoP turut disiapkan oleh Syarikat VC Telecoms Sdn Bhd di kawasan-kawasan perindustrian di seluruh Negeri Sarawak.

“Secara keseluruhan sehingga kini sebanyak 7,410 bilangan port telah dibangunkan dan sedia dilanggan oleh rakyat Sarawak,” katanya.

Manakala bagi Fasa 2 Zon Sarawak, Teo berkata daripada 681 PoP, sebanyak 10 peratus iaitu 69 PoP telah disiapkan.

Baki 90 peratus dijangka akan disiapkan dalam masa 2 tahun lagi.

Daripada jumlah PoP itu katanya, 20 PoP telah diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan bagi Kawasan Parlimen Santubong ini. — DayakDaily