742 kes kemalangan dilaporkan sepanjang Op Selamat 14

Supt Alexson Naga Chabu

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 19: Sebanyak 742 kes kemalangan jalan raya telah direkodkan sepanjang Op Selamat 14 sempena Tahun Baru Cina 2019.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, jumlah kes yang dicatatkan berlaku di seluruh negeri ini dilaporkan menurun sebanyak 20 kes atau daripada 762 kes pada tahun lepas.


Menurut beliau, kes kemalangan maut yang dilaporkan berlaku dalam tempoh sama ialah sebanyak 15 kes.

“Jumlah kematian pula menurun sebanyak 2 kes berbanding sepanjang Op Selamat 12 iaitu 17 kes.

“Pengguna motosikal adalah golongan yang paling ramai terkorban akibat kemalangan jalan raya iaitu seramai 11 orang,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, ia diikuti dengan pengguna lori iaitu seramai 2 orang yang terkorban, pengguna kereta (1) dan pejalan kaki (1).

Katanya, jenis kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan jalan raya pula ialah kereta iaitu sebanyak 861 buah daripada 1,235 jumlah keseluruhan kenderaan direkodkan.

“Ini diikuti kenderaan pacuan empat roda iaitu 194 buah dan motosikal (97).

“Siasatan mendapati punca-punca kemalangan adalah daripada kecuaian pengguna itu sendiri,” katanya. — DayakDaily