71 penerbangan tambahan bagi tempoh 18 hingga 31 Jan – Lee

Lee dalam ucapan aluan di Sambutan Tahun Baru Cina SUPP di Miri.

KUCHING, 25 Jan: Sebanyak 71 penerbangan tambahan yang disediakan syarikat penerbangan dalam tempoh 18 hingga 31 Jan membolehkan rakyat kembali ke Sarawak.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ia bagi memenuhi permintaan pengguna semasa perayaan Tahun Baharu Cina (TBC).

“Bagi memastikan ada penerbangan yang cukup dengan mengekalkan harga tambang, saya telah bertemu dengan penyedia perkhidmatan memohon penerbangan tambahan.


“Terima kasih kepada kerjasama semua syarikat, sejumlah 71 penerbangan disediakan bagi tempoh 18 hingga 31 Jan,” kata Lee.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di Miri malam ini.

Majlis dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bagi penerbangan ke Kuching terdapat 23 penerbangan tambahan iaitu enam penerbangan AirAsia sehari masing-masing dari Johor Bahru dan Kuala Lumpur ke Kuching.

Tujuh penerbangan MAS dari Kuala Lumpur dan satu penerbangan dari Kota Kinabalu, Sabah dan tiga penerbangan Firefly dari Pulau Pinang ke Kuching.

Untuk Miri, AirAsia menyediakan 17 penerbangan tambahan sehari termasuk tiga penerbangan dari Johor Bahru dan 11 dari Kota Kinabalu.

Sementara Sibu, AirAsia menyediakan 10 penerbangan tambahan dari Kuala Lumpur dan empat dari Johor Bahru sementara MAS menyediakan sembilan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sibu.

AirAsia menyediakan sembilan penerbangan sehari dari Kuala Lumpur ke Bintulu. ā€” DayakDaily