700 murid-murid kawasan Santubong terima bantuan persekolahan — Nancy


Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Jan: Sejumlah 700 murid-murid dari 21 buah sekolah rendah di kawasan Parlimen Santubong menerima bantuan menerusi Program ‘Back to School’.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bantuan berupa pakaian seragam sekolah, beg sekolah, kasut, stoking, kotak pensel dan set alat tulis.


“Keseluruhannya 700 murid-murid sudah kita bantu.

“Kebanyakan bantuan adalah sumbangan Kelab Rotary, Yayasan Sime Darby dan Pekema,” katanya ketika ditemui di Program ‘Back to School’ di SK Salak hari ini.

Pada program tersebut, sejumlah 81 murid-murid SK Salak menerima bantuan peralatan persekolahan.

Sementara itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong memaklumkan peruntukan RM400,000 telah diluluskan untuk memperbaiki kemudahan jalan (laluan) di Kampung Salak.

Katanya, ia dilaksanakan menerusi dana Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kemudahan penduduk.

“Kerja naik taraf jalan sudah diluluskan dengan peruntukan RTP berjumlah RM400,000.

“Ia bagi kerja menyambung jalan kayu ke jalan konkrit.

“Dinaik taraf kepada konkrit supaya tidaklah perlu diganti,” kata Nancy. — DayakDaily