KUCHING, 16 Sep: Tujuh daripada 11 tuntutan dibawah platfom rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan dalam tempoh 2 tahun di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing berkata, ia adalah hadiah bermakna sempena Hari Malaysia 2024.
“Lebih manis, Kerajaan Persekutuan juga bersetuju menaikkan kadar pemberian khas interim untul Sarawak dan Sabah dari RM300 juta kepada RM600 juta mulai tahun depan.
“Saya percaya lebih banyak kemajuan dan pembangunan dapat kita bawa di masa depan untuk manfaat penduduk Sarawak dan Sabah,” kata Tiong dalam hantaran di Facebook rasmi beliau.
Justeru tambah Tiong, Hari Malaysia yang kita raikan ini bukanlah semata-mata peristiwa biasa.
Katanya, ia merupakan hari istimewa dan penuh bersejarah di mana Malaysia dibentuk melalui penyatuan dan perpaduan kita semua. — DayakDaily