KUCHING, 10 Dis: Sarawak siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir semasa tempoh Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, sebanyak 661 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Sarawak yang boleh menempatkan seramai 160,819 mangsa bencana kini sedia untuk digunakan.
“Kesemua pusat ini boleh diaktifkan pada bila-bila masa bagi menghadapi musim MTL,” katanya di sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurus Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) di Kuching hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi JPBNS menambah, sejumlah 7,597 anggota dan pegawai dari pelbagai agensi kini sudah digerakan dan berada dalam keadaan sedia.
Katanya, dari segi kekuatan anggota dan logistik, Polis Diraja Malaysia mempunyai 1,406 anggota, Bomba (1,462), Angkatan Pertahanan Awam (2,759).
Manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat mempunyai 1,880 anggota.
“Sarawak memiliki 31 pengkalan hadapan termasuk sebuah depo simpanan bencana di Kota Samarahan.
“Dan kita ada 2 mini depo simpanan bencana, ini penting untuk kita menyalurkan bantuan makanan,” kata Uggah.
Sementara itu ujarnya, aset-aset lain dari pelbagai agensi juga kini dalam keadaan siapsiaga untuk dihantar ke lokasi bencana.
Ia melibatkan aset seperti bot dengan jumlah 214 buah, jet ski (3), kenderaan pacuan empat roda (263), lori (78), ambulan 32, motosikal (153), bas (2), helikopter (4) dan drone sejumlah 15 buah.
Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat bagi Sarawak dijangka akan bermula pada Disember 2024 hingga Februari 2025. — DayakDaily