66 penambang kawasan Bako terima bantuan BKSS ‘one-off’ RM500

Lee (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan 'one-off' RM500 kepada salah seorang penerima.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 Ogos: Seramai 66 penambang yang beroperasi di kawasan Bako menerima bantuan ‘one-off’ RM500 menerusi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS 8.0).

Bantuan telah disampaikan Menteri Pengangkutan Datuk Lee Khim Shin pada satu majlis di Terminal Penumpang Bako di sini, hari ini.


“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pendapatan golongan penambang terjejas akibat kurangnya pengguna termasuk pelancong.

“Diharapkan dengan bantuan secara ‘one-off’ RM500 daripada Kerajaan Sarawak ini sedikit sebanyak membantu mereka, ” katanya di majlis itu.

Seramai 199 penambang yang berdaftar di bawah Lembaga Sungai Sarawak mendapat manfaat daripada bantuan BKSS 8.0 ini yang melibatkan jumlah keseluruhan RM99,500.

Sementara itu, Lee memaklumkan bahawa kementerian dan LSS akan memantau situasi dan pembangunan perkhidmatan pengangkutan sungai di negeri ini dalam Pelan Pemulihan Negara Fasa 4.

Justeru katanya, pengusaha perkhidmatan pengangkutan sungai digesa memberi kerjasama dan sokongan kepada agensi kerajaan yang berkaitan. — DayakDaily