Oleh Muhammad Akmal Rizki
KUCHING, 10 April: Seramai 656 penggiat sukan elektronik berentap dalam pertandingan “Sarawak Youth Stay At Home Esports Challenge” yang bermula hari ini hingga 13 April.
Menurut Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan, pertandingan itu dibahagikan dua kategori iaitu FIFA 20 dengan 256 peserta dan PUBG Mobile (Solo) 400 peserta.
Ia bermula dengan kategori FIFA 20 yang diadakan selama dua hari (10 dan 11 April) yang telah bermula pada jam 8.30 pagi tadi, katanya.
“Sejak pagi tadi kita telah berjaya menarik lebih 1,000 orang yang menonton setiap perlawanan menerusi platform Facebook ‘Sarawak Esports Association’ (SESA) yang disiarkan secara langsung.
“Kita menjangkakan lebih banyak lagi penonton bagi setiap perlawanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, kategori PUBG MOBILE (Solo) yang disertai 400 peserta turut diadakan selama dua hari dan bermula 12 April ini.
Beliau menambah penganjuran pertandingan E-Sukan itu bagi menyahut saranan kerajaan berkaitan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula dari 18 Mac dan dilanjutkan hingga 14 April.
Dianjurkan oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sarawak (SESA) yang dibuat secara dalam talian, pertandingan itu terbuka kepada belia di negeri ini berumur 15 hingga 40 tahun.
Menurut beliau, objektif pelaksanaan program ini adalah untuk menyediakan aktiviti yang produktif kepada belia yang berada di rumah di samping menjadi pengisian masa lapang mereka di rumah.
“Tambahan pula, program seperti ini boleh membantu menggalakkan pembangunan E-Sukan di peringkat akar umbi serta secara tidak langsung dijadikan platform latihan yang lebih kompetitif.
“Pelaksanaan pertandingan ini turut membantu meningkatkan keyakinan dan semangat berdaya saing secara sihat dalam kalangan pemain baru serta membuka ruang kepada mereka untuk menyertai mana-mana kejohanan seterusnya,” ujarnya.
Sementara itu, presiden SESA Afiq Fadhli Narawi mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana menyokong inisiatif ini dan memberi peluang kepada belia untuk menampilkan bakat mereka.
Ujarnya, program itu juga sangat berkesan untuk mengisi masa lapang para belia di rumah dan juga berpeluang untuk memenangi hadiah yang menarik.
“Saya juga ingin berpesan kepada para belia untuk duduk di rumah dan patuh kepada PKP agar kita sama-sama dapat membendung virus Covid-19 ini,” kata Afiq.
Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM10,400.
Juara setiap kategori akan menerima wang tunai RM2,000, naib juara RM1,000, tempat ketiga RM800, keempat RM600 dan kelima RM300.
Manakala tempat keenam hingga kesepuluh bagi kedua-dua kategori akan menerima wang tunai RM100. — DayakDaily