57 penghuni di Menalun dipindahkan akibat banjir

Pasukan bomba membantu memindahkan mangsa yang terjejas akibat banjir.

Oleh Dean Adam

KANOWIT, Feb 8: Seramai 57 penghuni daripada 13 keluarga dipindahkan apabila kediaman mereka di Menalun dekat sini terjejas akibat dinaiki air banjir, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit, Arrahman Chik berkata, kesemua mangsa itu dipindahkan bersama pihak polis dan orang awam.


Difahamkan, seramai 13 orang penduduk lain tidak berpindah disebabkan rumah mereka tidak terjejas akibat banjir.

Arrahman bercakap dengan penghuni yang terjejas akibat banjir.
Pasukan bomba membantu memindahkan mangsa yang terjejas akibat banjir.

Jelasnya, selain itu pihaknya juga menerima laporan dari guru besar SK Ulu Machan memaklumkan keadaan air di sekolah telah beransur surut.

“Namun, jambatan yang menghubungkan sekolah dengan rumah panjang telah runtuh.  Kuarters di sekolah berkenaan juga dilaporkan condong, tetapi semasa kejadian tiada penghuni yang terjejas,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Arrahman berkata keadaan air sungai yang deras dan merbahaya telah mengganggu usaha menyelamat menggunakan bot penyelamat.

“Operasi ditangguh sementara waktu menunggu keadaan air kembali pulih. Maklumat tambahan akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” jelasnya. — DayakDaily