565 kayu balak haram dirampas dari Sungai Setalun, Belawai

Longgokan kayu balak haram yang ditemui di tebing Sungai Setalun, Belawai, Sarikei.

KUCHING, Mei 20: Sebanyak 565 batang kayu balak haram berjaya dirampas di dua lokasi berbeza di sepanjang Sungai Setalun, Belawai, Sarikei pada Khamis lalu.

Rampasan tersebut adalah hasil penemuan yang dibuat oleh pasukan penguatkuasa dari pejabat wilayah, Sarawak Forestry Corporation (SFC) Sibu semasa aktiviti rondaan di kawasan terbabit.

“Kayu balak tersebut dipercayai ditebang secara haram dari hutan berdekatan dengan menggunakan jengkaut,” kata SFC menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu menambah individu yang terlibat dalam kegiatan tersebut tidak dapat dikenal pasti kerana tiada individu yang ditemui di lokasi kayu balak berkenaan.

Namun, kayu balak yang disusun di tepi sungai itu dipercayai hendak diangkut keluar ke tempat lain, di mana ia didapati haram kerana tidak tiada tanda sah ia ditebang secara berlesen.

Laporan polis berhubung rampasan kayu balak itu sudah dibuat di Balai Polis Belawai dan semuanya akan diserahkan kepada Jabatan Hutan untuk siasatan dan tindakan lanjut. — DayakDaily