553 kes HFMD melibatkan murid sekolah dari Jan-April

Abang Mat Ali (dua dari kanan) mendengar penerangan mengenai Majlis Pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) Murid Teramai Membersihkan Tangan Secara Serentak Dengan Hand Sanitizer Peringkat Sarawak 2019 sebelum merasmikannya.

KUCHING, April 30: Keseluruhannya seramai 553 orang murid sekolah di Sarawak telah dijangkiti penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dari Januari hingga April tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus mendedahkan murid terbabit adalah berusia antara 6 hingga 12 tahun berikutan penyakit HFMD mudah menjangkiti kanak-kanak di premis tempat tumpuan mereka seperti tadika dan sekolah serta tiada ubat atau vaksin boleh mencegah jangkitannya.

“Kebiasaanya jangkitannya adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh hingga 10 hari,” katanya ketika merasmikan Majlis Pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) Murid Teramai Membersihkan Tangan Secara Serentak Dengan Hand Sanitizer Peringkat Sarawak 2019 di Sekolah Kebangsaan (SK) Green Road, di sini, hari ini.


Majlis tersebut yang dianjurkan Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan Melilea (M) Sdn Bhd melibatkan lebih daripada 450,000 murid tahun 1 seluruh negara dan SK Green Road dipilih sebagai lokasi perasmiannya peringkat Sarawak.

Abang Mat Ali berkata berdasarkan data terkini Jabatan Kesihatan Sarawak juga dalam tempoh Januari hingga April 2019 menunjukkan sebanyak empat kelas Tahun 1 dan sembilan kelas pra sekolah di Sarawak telah diarahkan ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Namun begitu sepanjang 2018 yang lalu sehingga April 2019, tiada sekolah di Sarawak yang dikenakan arahan penutupan,” katanya.

Abang Mat Ali (tengah) bersama murid SK Green Road ketika merasmikan Majlis Pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) Murid Teramai Membersihkan Tangan Secara Serentak Dengan Hand Sanitizer Peringkat Sarawak 2019 di sekolah tersebut,

Berikutan bilangan kes HFMD yang semakin meningkat di negara ini, antara langkah telah diambil termasuklah perlaksanaan pemeriksaan saringan di pintu masuk sekolah dan meminta ibu bapa kepada murid yang ada gejala penyakit HFMD mendapatkan rawatan segera.

“Sebagai langkah tambahan, sekolah juga perlu menjalankan aktiviti pembersihan premis dan saringan terhadap kanak-kanak dibawah jagaan mereka seperti yang disarankan dalam Garis Panduan Bagi Mencegah dan Mengawal HFMD,” katanya.

Beliau sehubungan itu mengingatkan langkah pencegahan terbaik adalah dengan menjaga kebersihan diri dan persekitaran dan berterima kasih kepada guru besar dan guru di sebanyak 1,265 sekolah rendah di Sarawak yang menyertai acara terbabit. — DayakDaily