54 individu dipercayai ‘bookie’, ‘punter’ Piala Dunia Qatar ditangkap di Sarawak

Mohd Azman bersama pegawainya semasa sidang media tersebut diadakan.
Advertisement

KUCHING, 22 Dis: Polis Sarawak membuat 43 serbuan dan menangkap 54 orang dipercayai ‘bookie’ dan ‘punter’ aktiviti perjudian dan pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kejayaan tersebut adalah hasil operasi Op Soga IX yang diadakan sejak 19 November hingga 21 Disember.

Katanya, kesemua suspek yang ditangkap adalah terdiri daripada 42 lelaki dan 12 wanita berusia lingkungan 18 hingga 53 tahun.

Advertisement

Jelas beliau fokus utama Op Soga IX bertujuan untuk membanteras kegiatan catit taruh tanpa lesen sah sepanjang Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Qatar 2022.

“Sebanyak 43 kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan 17 daripadanya telah dituduh di mahkamah.

“Kesemua tangkapan direman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media kejayaan operasi tersebut di IPK Sarawak hari ini.

Pasukan operasi turut merampas empat unit komputer, telefon pintar, komputer riba, tablet, ‘mobile printer’, mesin pencetak kad sim, 20 keping kertas jadual perlawanan dan 17 keping kertas catitan taruhan dirampas.

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM6,744,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian juga boleh menyalurkannya dengan menghubungi hotline D7 Sarawak 013-5253052. — DayakDaily

Advertisement