512 batang kayu balak haram dirampas

Kelihatan kayu balak yang dirampas.

BINTULU, Jan 27: Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 512 batang kayu balak menerusi satu serbuan di kawasan Batu 8, Jalan Bintulu-Miri di sini hari ini.

Jurucakap SFC berkata, kesemua kayu balak pelbagai jenis dan spesies itu ditemui di sebuah kawasan longgokan kayu balak yang ditinggalkan.

Katanya, serbuan bersepadu itu dilakukan kira-kira pukul 10 pagi ini.

“Semasa serbuan itu, pihak berkuasa tidak menemui sebarang mesin atau peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan haram di situ.

“Pekerja pembalakan di kawasan berkenaan juga tidak kelihatan dan dipercayai sudah melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, jurucakap sama menambah, siasatan awal mendapati kesemua kayu balak itu dipercayai baru ditebang.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang cop pengesahan rasmi daripada Jabatan Hutan Sarawak pada bahagian pangkal dan hujung semua kayu balak itu.

“Nilai rampasan kayu balak tersebut masih dalam siasatan.

“Satu laporan polis berhubung rampasan itu sudah dibuat di Balai Polis Bintulu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Ordinan Hutan 2015. ā€” DayakDaily