Oleh Chris Bishop
KUCHING, 16 Mei: Sarawak akan menerima sejumlah 500,000 dos vaksin Covid-19 Sinovac dalam tempoh seminggu ini.
Menurut Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Dr Annuar Rapaee, ini akan disusuli dengan tambahan 500,000 lagi dos kemudiannya.
“Kerajaan negeri telah mendapatkan 500,000 dos Sinovac iaitu dibawah inisiatif kerajaan negeri sendiri, kemungkinan besar dalam masa seminggu lebih ini akan sampai.
“Ini disusuli dengan tambahan lagi 500,000 kemudiannya,” kata Dr Annuar ketika bersiaran langsung melalui Facebooknya malam tadi.
Beliau yang juga Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu menambah, ketibaan vaksin itu nanti akan memberi manfaat kepada sejuta rakyat negeri.
Katanya, pihak swasta akan membantu dalam pelaksanaan pemberian vaksin secara percuma kepada rakyat.
“Saya akan sarankan kepada kerajaan negeri supaya kawasan-kawasan yang panas seperti Sibu, Bintulu dan Miri perlu diutamakan untuk menerima vaksinasi,” ujar beliau.
Katanya lagi, di Sarawak sejumlah 2.08 juta rakyat perlu menerima suntikan vaksin dan golongan muda lebih 18 tahun diseru untuk mendaftar.
Di Sibu jelas beliau yang juga Adun Nangka, terdapat 93,801 rakyat termasuk golongan muda masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin. — DayakDaily