5,000 rumah mampu milik untuk Stampin jika menang PRU14, kata Dr Sim

Dr Sim (tiga dari kanan) and Lo (empat dari kanan) semasa melawat ke Rumah Mampu Milik Kampung Rampai di Bau.
Advertisement

BAU, Mei 1: Calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Stampin Datuk Dr Sim Kui Hian berjanji untuk membina sebanyak 5,000 rumah mampu milik di kawasan itu jika beliau menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menambah, pembinaan rumah mampu milik itu adalah khusus untuk golongan yang berpendapatan sederhana agar mereka dapat memiliki rumah sendiri.

“Ini adalah janji saya dan saya komited untuk melaksanakannya jika dipilih sebagai Ahli Parlimen di Stampin pada Mei 9 nanti,” katanya ketika ditemui semasa merasmikan projek Rumah Mampu Milik Kampung Bunga Rampai di sini.

Advertisement

Sementara itu, Dr Sim berkata rumah mampu milik amat diperlukan di negeri ini, kerana ia mendapat permintaan yang sangat tinggi terutama daripada orang muda.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pada masa ini, kemudahan perumahan itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan tersebut.

Menurut beliau, permintaan yang tinggi terhadap rumah mampu milik adalah disebabkan orang ramai terutama di Bahagian Kuching dan Kota Samarahan tidak mampu untuk membeli rumah yang dibangunkan oleh pemaju swasta kerana harga yang terlalu tinggi.

“Antara 20 hingga 30 peratus orang yang mahu membeli rumah terpaksa melupakan hasrat mereka kerana kekangan kewangan dan sukar untuk mendapatkan pinjaman daripada bank,” katanya.

Manakala, projek perumahan mampu milik di Kampung Bunga Rampai akan dibina menggunakan dua model iaitu Jenis 1 (78 unit) dan Jenis 2 (44 unit) menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) dan dijangka siap dalam masa 21 bulan.

Projek tersebut telah diluluskan pada November 2017 akan dibina di atas tanah seluas 11.8 ekar (sekitar 700 kaki persegi bagi setiap unit) dengan anggaran kos RM22 juta.

Rumah yang dibina melalui HDC itu akan diberi keutamaan kepada penduduk kampung yang tinggal di sepanjang tebing sungai di kampung berkenaan kerana diancam dengan hakisan sungai yang tidak dapat dielakkan.

Turut hadir ADUN Batu Kitang yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang dan ADUN Tasik Biru Datuk Henry Jinep. — DayakDaily

Advertisement