50 mangsa tanah runtuh di Kampung Panggil, Sri Aman kekal di Dewan SMK Melugu

Anggota JPBN membantu mangsa banjir di Long Busan, Bukit Mabong memindahkan peralatan rumah ke tempat yang lebih tinggi.

KUCHING, Dis 10: Seramai 50 penduduk rumah panjang Tuai Rumah (TR) Agal, Kampung Panggil, di Sri Aman masih berada di Pusat Pemindahan Sementara di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Melugu.

Kesemua penduduk tersebut dipindahkan susulan kejadian tanah runtuh di bahagian belakang rumah panjang mereka semalam.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melalui satu kenyataan media pada jam 12 tengahari berkata mangsa dipindahkan berikutan tanah bukit di belakang rumah panjang runtuh akibat hujan berterusan sejak petang Isnin.

Keadaan Pusat Pemindahan Sementara di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Melugu.

Disamping itu, kejadian hujan lebat secara berkala dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini menyebabkan beberapa kawasan rendah berisiko terjejas banjir.

JPBN Sarawak melaporkan beberapa perkampungan di beberapa bahagian atau daerah telah dinaiki air kurang dari 1 meter.

Anggota JPBN memantau paras air di Kampung Narum, Marudi.

Antara yang terjejas adalah Kpg Pangkalan Madang dan Kpg Medamit di Limbang, Matu di Mukah, Bukit Mabong di Kapit.

Manakala di Bahagian Miri iaitu di Daerah Marudi pemantauan JPBN dilakukan di RH Gerinang Anak Kam, Logan Tasong, Kampung Narum, Kampung Ridan, Long Maro, RH Vincent Anak Kui di Tinjar dan di Tanjung Upar. — DayakDaily