47 kaki judi dicekup menerusi 33 serbuan

Anggota polis menahan individu yang terlibat dalam aktiviti perjudian haram.

KUCHING, April 9: Polis menahan 47 kaki judi setelah disyaki terlibat dalam kegiatan judi haram menerusi 33 serbuan pada minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, semua serbuan itu dilakukan di 26 premis menjual loteri haram, enam di pusat judi siber dan satu serbuan di pusat judi terbuka.

Jelas beliau, serbuan mulai April 2 hingga 8 lepas telah dilaksanakan di daerah Padawan, Kuching, Miri, Sibu, Kota Samarahan, Bintulu, Sri Aman, Serian, Sarikei, Betong dan Mukah.

“Polis berjaya merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan judi haram tersebut.

“Selain itu, polis turut merampas wang tunai RM7,700 (loteri haram), RM7,085 (judi siber) dan RM2,141 (judi holo) daripada semua serbuan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Mengulas lanjut, Dev memberitahu, kesemua kaki judi yang dicekup itu berusia antara 17 hingga 58 tahun.

Katanya, daripada 47 individu yang ditahan, 34 orang merupakan lelaki dan 13 lagi wanita.

“Kesemua mereka akan ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” ujarnya. — DayakDaily