46 terima geran MRP di Selangau

Dr Nuing (empat kiri) menyerahkan geran MRP kepada salah seorang penerima.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 24 Jan: Sejumlah RM260,000 geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diserahkan kepada 46 penerima di kawasan Selangau.

Ahli Dewan Negara Senator Dato Dr Nuing Jeluing berkata, penerima geran itu melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari kawasan Sungai Arip, Sungai Tau, Sungai Bawang dan Sungai Pelugau.

“Pada hari ini seramai 46 penerima yang terdiri daripada 41 JKKK dan lima lagi penerima daripada PIBG. Jumlah keseluruhan cek yang diserahkan pada pagi ini adalah bernilai RM260,000.

“Dana ini diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak,” katanya sebagai memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Dr Nuing berkata demikian semasa berucap dalam majlis penyerahan geran berkenaan di Dewan Serbaguna Sungai Bawang, Selangau pada Isnin.

Menurut beliau lagi, majlis penyerahan MRP juga akan diadakan di Tatau dan di Lubok Bukut Mukah pada Februari depan.

Terdahulu, Pegawai Daerah Selangau Inting Nyami semasa berucap turut memaklumkan, Kerajaan Sarawak telah menyediakan sebuah kawasan di Sungai Arip untuk melaksanakan projek membina kemudahan Rehat dan Rawat (R&R) atau sebuah perbandaran baharu.

Beliau mendedahkan, kerja-kerja pembersihan tanah sedang dijalankan bagi projek berkenaan.

Sementara itu katanya, sejarah juga tercipta untuk penduduk setempat kerana Dewan Serbaguna Sungai Bawang itu baru sahaja siap dan pertama sekali digunakan.

“Dewan ini adalah projek daripada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) yang menelan kos berjumlah RM700,000,” katanya. — DayakDaily