4,547 anggota tentera, awam Kementah dan keluarga di Sarawak mula menerima dos penggalak

Mardzuki (tengah) bersama Dzulkafli (kiri) melihat pengawainya mendapatkan vaksin dos penggalak di PPV Muara Tuang.
Advertisement

KUCHING, 10 Nov: Seramai 4,547 anggota Tentera Darat, penjawat awam Kementerian Pertahanan (Kementah) serta keluarga di Sarawak diberikan dos penggalak vaksin Covid-19 bermula hari ini.

Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa berkata program fasa pertama ini dilaksanakan secara pandu lalu di lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bermula hari ini dan dijangka selesai pada 16 November ini.

Katanya, lima PPV tersebut ialah PPV Kem Muara Tuang dengan seramai 1,149 penerima, PPV Kem Pakit Sri Aman dengan 299 penerima, PPV Kem Similajau Bintulu dengan 266 penerima, PPV Kem Oya, Sibu dengan 2,078 penerima dan PPV Kem Sri Miri dengan seramai 755 penerima.

Advertisement

“Melalui inisiatif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), dos penggalak diberikan kepada anggota Tentera Darat yang bertugas bersama-sama agensi kesihatan dan keselamatan dan amat diperlukan terutama bagi yang bertugas di persempadanan Sarawak dan Kalimantan Barat.

“Doa penggalak adalah dos yang diberikan untuk meningkatkan tahap imunisasi yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas mendapat dos lengkap dan memastikan tempoh perlindungan yang optima diperolehi,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau turut meluangkan masa memantau proses pemberian vaksin dos penggalak secara pandu lalu di Kem Muara Tuang, hari ini.

Hadir sama, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad di PPV Kem Muara Tuang. — DayakDaily

Advertisement