4,418 saman trafik dikeluarkan sepanjang empat hari Ops Selamat Tahun Baru Cina

Alexson memeriksa lesen pemandu kereta semasa operasi tersebut semalam (1 Feb 2022).

KUCHING, 2 Feb: Sebanyak 4,418 keping saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan sepanjang Op Selamat ke-17 sempena Tahun Baru Cina yang dijalankan di negeri ini sejak 28 Januari sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata antara kesalahan yang disaman ialah memandu melebihi had laju, tiada lesen memandu, muatan bahaya, kesalahan nombor pendaftaran, kesalahan ubah suai dan halangan lalu lintas.

Katanya, kesalahan-kesalahan itu telah dikesan di seluruh negeri ini.


“Tumpuan Op Selamat adalah untuk menguatkuasakan undang-undang lalu lintas dan setakat hari ini (Selasa) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak telah mengeluarkan 4,418 saman atas pelbagai kesalahan di seluruh Sarawak dalam tempoh empat hari,” katanya kepada pemberita.

Beliau terdahulunya mengetuai Op Motosikal yang dijalankan di Lebuh Raya Kuching-Samarahan Expressway, di sini semalam.

Selain itu katanya, polis juga memberi tumpuan kepada kelancaran pergerakan lalu lintas sepanjang pelaksanaan Op Selamat ke-17.

“Sebanyak 27 lokasi yang sering berlaku kesesakan menjadi tumpuan dengan seramai 440 orang pegawai dan anggota trafik telah ditugaskan dalam sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat hari ini, sebanyak 187 kes kemalangan jalan raya dilaporkan dan jumlah itu menurun sebanyak 36 kes atau 16.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Alexson berkata, bagi kemalangan maut, jumlah yang berlaku bagi tempoh empat sehingga semalam adalah sebanyak dua kes berbanding lapan kes pada tahun lepas.

“Ini menunjukkan penurunan sebanyak enam kes atau 75 peratus,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas agar usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya musim perayaan ini tercapai.

Dalam pada itu, Alexson turut memberitahu sebanyak sebanyak 211 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas pada Op Motosikal semalam.

Antara kesalahan tertinggi direkodkan adalah mengenai nombor pendaftaran diikuti lesen memandu, ubah suai ekzos, Lesen Kenderaan Motor (LKM), tali pinggang keledar, tiada cermin sisi, ubah suai struktur dan lain-lain kesalahan.

“Sebanyak 415 buah kenderaan pelbagai jenis diperiksa sepanjang operasi ini,” katanya. — DayakDaily