Oleh Chris Bishop
KUCHING, 29 Jan: Bermula dengan serba kekurangan 44 tahun yang lalu, kini Kuching Longkang Mee Stall semakin dikenali dan digemari.
Beroperasi di Lorong Datuk Tawi Sli 4, stall ini mengambil nama tersebut kerana lokasinya terletak berhampiran dengan satu longkang besar di tepi Jalan Datuk Amar Kalong Ningkan.
Kuching Longkang Mee Stall diusahakan oleh keluarga Ah Choo dan kolo mee merupakan yang paling laris.
Dibuka pada sebelah petang seawal jam 4, stall ini ditutup sekitar jam 10 malam.
“Kita mula menjual mee pada tahun 1979, dan sekarang sudah 44 tahun, saya dibantu oleh suami dan anak-anak.
“Dahulunya, stall ini menggunakan struktur kayu tetapi sekarang sudah ditukar menggunakan struktur aluminium dan lantai konkrit.
“Ini memberi keselesaan kepada pelanggan kami,” kata Ah Choo.
Tambah Ah Choo, 44 tahun yang lalu beliau memulakan perniagaan dengan serba kekurangan.
Dengan sedikit pengetahuan dalam menyediakan mee (kolo), beliau tidak pernah putus asa dan berazam untuk terus meningkatkan perniagaan.
Di stall tersebut disediakan tiga meja khas untuk pelanggan yang mahu menikmati masakan mee terus di situ.
Namun, kebanyakan pelanggan setia Ah Choo memesan mee khasnya kolo mee untuk dibawa pulang.
Selain kolo mee, Kuching Longkang Mee Stall turut menjual wan tan, mee goreng sos, mee goreng kantonis dan lain-lain. — DayakDaily