KUCHING, Mei 21: iCube Innovation Sdn Bhd sebagai pusat inkubator usahawan muda bandar raya ini telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Xense Enterprise yang merupakan syarikat teknologi realiti maya komersil pertama Sarawak.
MoU tersebut ditandatangani antara Pengarah iCube Innovation, Melvin Liew dengan Pengasas Bersama Xense Enterprise, Nicholas Bong dan disaksikan Pengasas dan Pengerusi iCube Innovation Sdn Bhd, Dato Patrick CJ Liew di satu majlis di iCube Innovation di iCom Square, Pending di sini, hari ini.
Patrick berkata MoU itu adalah bagi iCube Innovation terus membantu perkembangan Xense Enterprise yang diwakili sekumpulan anak muda tempatan berusia dalam lingkungan umur 20 tahun yang tiada pengetahuan tentang perniagaan tetapi memiliki pengetahuan teknikal.
“Setahun yang lalu mereka datang kepada kami sebagai entiti yang kecil dan berusaha membangunkan teknologi realiti maya, sekarang mereka di peringkat lebih matang dengan mula memperkenalkan produk 3D, realiti diperkaya, aplikasi telefon pintar dan sebagainya,” katanya
Katanya iCube Innovation kemudian membantu syarikat terbabit mengkomersilkan dan memasarkan produk mereka bagi menjana pendapatan kepada syarikat dan ketika ini syarikat sudah mampu beroperasi dengan baik.
“Kini kakitangan syarikat juga sudah bertambah dari hanya empat orang kakitangan kepada lapan orang dan dijangka dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi mereka akan berpindah ke premis yang lebih besar,” katanya.
Patrick berkata Xense Enterprise bukan pihak pertama yang membangunkan teknologi realiti maya di Sarawak tetapi adalah yang pertama mengkomersilkan produk teknologi terbabit bagi dipasarkan.
Di majlis MoU itu juga, beliau menunjukkan produk yang ditawarkan syarikat berkenaan termasuk aplikasi telefon pintar yang memberi ‘suara’ kepada lukisan mural di bandaraya ini dan mendedahkan teknologi sama juga boleh digunakan bagi replika kucing yang ada sekitar bandar raya ini disamping imej seekor naga yang muncul apabila telefon pintar merakam gambar sesuatu tempat. — DayakDaily