40,580 calon duduki UPSR 2018 di Sarawak

Kementerian Pendidikan Malaysia - logo

KUCHING, Sept 19: Seramai 40,580 orang calon dari 1,284 buah pusat peperiksaan di Sarawak akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus berkata, semua calon dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) akan menduduki peperiksaan itu mulai Sept 20 hingga 27 ini.

Manakala katanya, bagi calon Sekolah Kebangsaan (SK) pula, mereka akan menduduki UPSR mulai Sept 24 hingga 27 ini.


“Daripada jumlah itu, seramai 30,651 orang calon atau 75.53 peratus akan menduduki UPSR dalam aliran Bahasa Melayu.

“Sementara 9,929 orang calon atau 24.47 peratus pula menduduki UPSR dalam aliran Bahasa Cina,” katanya di sini hari ini.

Abang Mat menambah, sehubungan dengan itu, seramai 356 orang penyelia kawasan dan 5,032 orang pengawas akan terlibat dalam urusan pengendalian peperiksaan berkenaan.

Katanya, semua calon diingatkan supaya menyemak jadual waktu ujian dan membawa kad pengenalan atau surat beranak.

“Semua calon juga perlu membawa borang pengenalan diri dan kenyataan masuk ke pusat peperiksaan pada setiap hari peperiksaan.

“Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sektor Penilaian dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di talian 082-473538 atau 082-473520,” katanya. — DayakDaily