40 persatuan sukan berdialog bersama Pesuruhjaya Sukan Malaysia

Ibrahim (dua dari kiri) menyampaikan perakuan pendaftaran kepada wakil badan sukan baharu berdaftar pada sesi dialog tersebut.

KUCHING, 19 Feb: Sebanyak 40 persatuan sukan peringkat negeri telah menghadiri Sesi Dialog Bersama Pesuruhjaya Sukan Malaysia Ibrahim Mohd Yusof yang diadakan di Kompleks Belia Dan Sukan di sini, hari ini.

Objektif penganjuran program adalah untuk menyampaikan maklumat berkenaan Akta Pembangunan Sukan dan amalan urus tadbir badan sukan selaras dengan amalan badan sukan antarabangsa.

“Program juga bertujuan mendapatkan maklum balas dari badan sukan peringkat negeri berkenaan urus tadbir badan sukan serta isu dan permasalahan dihadapi.


“Serta berkongsi peranan dan tanggungjawab badan sukan terutamanya peringkat negeri bagi membantu memacu pembangunan sukan Negara,” kata Ibrahim pada sidang media selesai dialog.

Beliau berharap dengan pelaksanaan program, ia dapat menjadikan badan sukan mentadbir badan sukan selaras dengan kehendak Akta Pembangunan Sukan agar lebih mahir dan kompeten dalam urusan pentadbiran badan sukan.

Program ini menyasarkan penglibatan pemegang jawatan utama iaitu Presiden, Timbalan Presiden ataupun Setiausaha.

Untuk keseluruhan Sarawak, sebanyak 1,501 buah badan sukan telah
berdaftar setakat 31 Januari 2022 di pelbagai peringkat iaitu Negeri, Bahagian dan Kelab. — DayakDaily