3,669 pelajar Unimas baharu mula sesi semester pertama

Abdul Karim (tengah) menerima cenderahati selepas menghadiri Majlis Ikrar Pelajar Unimas Sesi 2018-2019 di Kampus Unimas.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, Sept 8: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menerima keseluruhannya seramai 3,669 orang pelajar baharu bagi sesi semester 2018-2019 di Arena Gemilang, DeTAR Putra, dalam kampusnya, di sini, hari ini.

Seramai 3,423 pelajar baharu terbabit adalah pelajar pra siswazah manakala seramai 246 pelajar baharu terbabit adalah pelajar pasca siswazah dari negeri ini, Sabah, dan Semenanjung serta pelajar antarabangsa.

Majlis ikrar pelajar baharu terbabit telah disaksikan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulung Matjeraie, dan Naib Canselor Unimas, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Advertisement

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dalam ucapannya berharap kesemua pelajar baharu terbabit tidak menghampakan ibu bapa mereka setelah menjadi sekumpulan kecil yang terpilih dari ribuan yang telah memohon menjadi pelajar Unimas.

“Ibu bapa, ahli keluarga, saudara, jiran tetangga, masyarakat, rakyat dan negara, semuanya menaruh harapan ke atas anda. Manfaatkanlah peluang yang amat istimewa ini, jadilah seorang mahasiswa yang cemerlang, berdaya saing, bertanggungjawab, yakin, sentiasa sedia, dan beretika,” katanya.

Pelajar baharu Unimas sesi 2018-2019 mengambil ikrar pelajar di kampus Unimas Kota Samarahan.

Beliau juga mengalukan hampir 55 peratus dari pelajar baharu terbabit yang berasal dari luar Sarawak serta yakin kebanyakkan mereka kali pertama menjejakkan kaki di negeri ini.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi pesan kepada anda semua agar teruskanlah menimba ilmu di Bumi Kenyalang yang bertuah ini, pastinya banyak pengalaman yang akan anda alami di sini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Kadim Suaidi berkata seramai tiga orang pelajar baharu terbabit adalah dari golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan menjangkakan mereka tidak akan menghadapi masalah belajar di universiti terbabit kerana mempunyai kemudahan penginapan dan fakulti yang mesra golongan itu.

“Seramai 81 orang pelajar baharu terbabit adalah pelajar B40 iaitu pendapatan isi keluarga dibawah RM3,860 sebulan. Unimas memperuntukkan sebanyak RM500,000 setiap tahun bagi membantu pelajar B40 ini,” katanya dengan pelajar terbabit yang berasal dari Sarawak akan dikecualikan yuran pengajian semester pertama. — DayakDaily

Advertisement