33 penghuni hilang tempat tinggal sekelip mata akibat kebakaran

Api sedang marak membakar tingkat atas rumah teres dua tingkat.

SIBU, Mac 2: Seramai 33 penghuni hilang tempat tinggal mereka dalam sekelip mata sahaja selepas rumah teres dua tingkat yang didiami mereka terbakar, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu mengakibatkan enam bilik di bahagian atas kediaman berkenaan musnah terbakar.

Pegawai Kanan Bomba Sibu, Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 4.02 petang.

Katanya, sejurus menerima laporan insiden, sepasukan 21 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dan BBP Sungai Merah telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar tingkat dua kediaman berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian segera melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran untuk mengelak api merebak ke kediaman lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Kamaruddin menambah, kebakaran itu telah mengakibatkan kemusnahan sebanyak 60 peratus ruang atas rumah tersebut.

Jelasnya, seramai tujuh buah keluarga dan 33 mangsa keseluruhan yang terjejas akibat kebakaran itu.

“Tiada mangsa tercedera dan kemalangan jiwa yang dilaporkan berlaku.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian tersebut masih lagi disiasat,” katanya lagi. — DayakDaily