32 projek RTP DUN Pantai Damai dilaksana tahun ini

Dr Abdul Rahman (duduk tengah) bercakap selepas Mesyuarat Pelaksanaan Projek RTP 2018.

KUCHING, Ogos 24: Sebanyak 32 projek infrastruktur asas dan kemudahan awam berjumlah RM5 juta di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) akan dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Dr Abdul Rahman Junaidi berkata projek tersebut merangkumi pembinaan dewan masyarakat, lampu jalan di Tebingan BGS, pangkalan pontoon, jeti nelayan termasuk bina baharu dan baik-pulih surau.

Projek lain yang turut dilaksanakan melibatkan pembinaan benteng konkrit, menaiktaraf sistem perparitan, pembinaan gelanggang futsal, menaiktaraf jalan kampung dan titi belian.


“Pelaksanaan projek RTP, sejak dimulakan 2015 hingga 2017, telah berjalan lancar di kawasan DUN Pantai Damai sekaligus memberi manfaat dan keselesaan kepada masyarakat setempat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Projek RTP 2018 Bagi Kawasan DUN Pantai Damai di Pejabat Residen Kuching di sini.

Agensi pelaksana yang terlibat dengan projek tersebut merangkumi Pejabat Residen Bahagian Kuching, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kuching, Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (SIMU), Jabatan Perparitan dan Saliran (DID), Dewan Badaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai turut meminta semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menyiapkan cadangan awal senarai projek pembangunan yang memanfaatkan penduduk kampung masing-masing untuk pelaksanaan 2019-2020. — DayakDaily