KUCHING, 9 Ogos: Seramai 32 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) diusir balik ke negara asal mereka selepas ditangkap cuba membolosi sempadan negara hari ini.
Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata anggota Ankatan Tentera Malaysia (ATM) dari Briged Ketiga Infantri Malaysia melakukan rondaan sekitar jam 3.45 petang di kawasan sektor Pos Kandaie.
Katanya, mereka terserempak dengan sekumpulan individu mencurigakan di ladang Kelapa Sawit Rimbunan Hijau sekitar 150 meter dari arah sempadan Malaysia-Indonesia.
“Pemeriksaan awal selepas ditahan mendapati kesemua 32 Pati yang terdiri daripada 20 lelaki dan 9 wanita dewasa negara Indonesia berusia sekitar 17 hingga 56 tahun dan tiga kanak-kanak berusia 9 bulan hingga 3 tahun tidak memiliki dokumen rentas sempadan yang sah.
“Tiada barangan terlarang yang ditemui selain pakaian dan barangan peribadi melibatkan 19 motosikal dianggarkan bernilai RM51,500, wang tunai matawang Indonesia sekitar RM10,000, 24 unit telefon bimbit dan barangan peribadi yang keseluruhannya bernilai RM100,667,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kesemua Pati telah diusir ke Indonesia pada jam 5.30 petang kepada wakil Tentara Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI AD) di Pos Kumba Semuying selepas laporan dibuat di Balai Polis Lundu.
“Tentera darat terus komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya. — DayakDaily