31 penghuni tinggal sehelai sepinggang, rumah didiami terbakar

Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 16: Seramai 31 orang tinggal sehelai sepinggang selepas empat buah rumah di Lorong 32, Kampung Bintawa Hilir di sini terbakar, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.16 pagi itu, tiga buah rumah telah ranap terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi terjejas 10 peratus.

Advertisement

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 7.18 pagi.

Jelasnya, sepasukan 16 anggota bomba dari BBP Petra Jaya dan BBP Tabuan Jaya kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah jenis separuh kekal di situ.

“Jarak rumah yang dekat antara satu sama lain mengakibatkan api cepat marak, namun kepantasan pasukan bomba menggunakan teknik ‘fire break’ berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kediaman lain,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, api kebakaran itu berjaya terkawal pada pukul 7.57 pagi dan kini anggota bomba masih melakukan kerja-kerja ‘overhaul’.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati tiada mangsa yang cedera dalam kebakaran tersebut.

“Buat masa ini, kita masih menyiasat punca kebakaran dan anggaran kerugian yang ditanggung oleh semua mangsa terlibat,” katanya. — DayakDaily

Advertisement