300 ahli PH Kampung Semarang keluar parti, sertai Pas

Zharudin Narudin

KUCHING, Feb 29: Seramai 300 ahli Pakatan Harapan (PH) dari Kampung Semarang, Beting Maro bertindak keluar parti dan menyertai Pas Sarawak.

Ketua Penerangan Pas Sarawak, Zharudin Narudin berkata, mereka adalah ahli-ahli dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Setelah bosan dan muak melihat polemik politik di peringkat nasional, seramai 300 ahli PH bertindak keluar parti.


“Mereka juga sudah bosan kerana PH tidak menunaikan janji-janji terhadap Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Zharudin, kumpulan tersebut memohon menyertai Pas Sarawak dan telah diterima masuk.

Sebaik menyertai Pas, kumpulan tersebut kata beliau telah menubuhkan empat cawangan.

Menurut Zharudin lagi, mereka juga turut menyambut baik keputusan Pas yang menyokong calon Perdana Menteri kelapan iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin.

“Sokongan padu yang diberikan kepada Pas adalah kerana inilah parti yang sentiasa menjaga kebajikan di Dun Beting Maro berbanding Adun yang sedia ada,” katanya.

Ikrar sokongan padu ini dinyatakan dalam satu majlis ringkas di pusat kegiatan aktiviti mereka yang juga merupakan bilik gerakan Pas Cawangan Kampung Semarang.— DayakDaily