30 penduduk Kampung Bijuray terjejas akibat banjir kilat

Penduduk kampung mula berpindah ke tempat selamat.

Oleh Dean Adam

BAU, Jan 7: Hujan lebat yang berterusan telah mengakibatkan kawasan rendah di Kampung Bijuray di sini dinaiki air banjir kilat, lewat petang tadi.

Setakat pukul 7.40 petang, terdapat 27 buah rumah di kampung berkenaan dinaiki air sedalam kira-kira 0.3 meter.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau telah berada di kampung berkenaan untuk melakukan operasi susulan.

Jelasnya, buat masa ini seramai 30 orang yang terjejas akibat banjir berkenaan.

Penduduk terjejas ditempatkan di Dewan Kampung Bijuray.

“Sebuah pusat pemindahan sementara iaitu Dewan Kampung Bijuray telah dibuka untuk menempatkan mangsa-mangsa yang terjejas.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan berhubung kejadian tidak diingini berlaku dan trend air menunjukkan penurunan,” katanya di sini malam ini.

Tiong menambah, pihak polis serta serta pasukan keselamatan lain juga berada di lokasi untuk membantu mangsa yang terjejas.

“Maklumat terkini akan dikemaskini dari masa ke semasa,” ujarnya. — DayakDaily