Oleh Cornelius Kadir Edison
LUBOK ANTU, 26 Nov: Tiga puluh laluan haram, iaitu 20 lorong tikus dan 10 lorong gajah dikenal pasti sebagai laluan panas digunakan untuk aktiviti penyeludpan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan barang kawalan di sepanjang kawasan sempadan bermula dari Telok Melano hingga Nanga Badau.
Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia Brigadier Jeneral Datuk Azhar Ahmad berkata, kebanyakan laluan tersebut terletak berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) termasuk di Biawak, Sarikin, Tebedu dan Lubok Antu.
Penutupan sementara ICQS di sempadan Malaysia-Indonesia sepanjang penularan wabak Covid-19 menyebabkan laluan lorong tikus dan lorong gajah ini menjadi pilihan utama untuk masuk ke negara ini khususnya Sarawak.
Bagaimanapun, Azhar berkata, aktiviti keluar masuk Pati dari negara jiran ke Sarawak khusus dalam kawasan di bawah kawalan Briged Ketiga Infantri bermula dari Telok Melano hingga Lubok Antu sehingga kini berjaya dikawal
“Kita juga menambah kekuatan anggota kita daripada Ops teras yang kita ada, mengawal sempadan dan kita tambah dengan Ops kerangka yang mana kita tambah dalam kekuatan satu kompani iaitu dalam 140 anggota,” katanya.
Beliau berkata, kesemua Pati yang ditahan akan diusir semula ke negara asal mereka bagi mengelakkan berlakunya penularan wabak Covid-19 melibatkan tahanan terbabit.
Katanya, sehingga kini lebih daripada 200 orang Pati kebanyakan yang berasal dari Indonesia berjaya diusir atau diarahkan berpatah balik sejak operasi berkaitan dilakukan.
“Pengusiran Pati ini tidak termasuk dengan penahanan barang-barang yang cuba di seludup sama ada barang tersebut bertuan atau tanpa tuan punya,” katanya dalam sidang media di Kampung Pakit A sempena program Jiwa Murni, pada Sabtu lepas.
Jelasnya, mana-mana Pati yang ditahan akan diserahkan kepada polis terlebih dahulu sebagai rekod sebelum diiring ke garis sempadan bagi tujuan pengusiran balik ke negara asal mereka.
“Bagi memastikan mereka betul-betul balik ke negara asal, anggota kita akan mengiringi mereka hingga ke garisan sempadan Malaysia-Indonesia dan memastikan bahawa mereka betul-betul sudah kembali ke lokasi asal mereka barulah anggota-angota ini meneruskan rutin rondaan mereka,” jelasnya.
Tambah Azhar, pasukan risikan turut dihantar ke kawasan yang telah dikenal pasti sebagai laluan panas di sempadan bagi membantu mencegah sebarang aktiviti penyeludupan Pati atau barang kawalan.
“Kita letakkan anggota kita untuk membuat rondaan secara berkala di setiap lorong-lorong yang telah kita kenalpasti ini dan pada masa sama kita juga ada anggota kita yang turut melakukan risikan di lorong-lorong tersebut,” tambahnya. — DayakDaily