30 kaki judi diberkas di Sarawak sepanjang minggu lalu

Peralatan dan barangan yang digunakan untuk perjudian yang dirampas oleh polis.

KUCHING, Jan 29: Polis Sarawak berjaya menahan 30 kaki judi termasuk remaja dan warga emas menerusi 27 serbuan berasingan di negeri ini minggu lalu.

Kesemua kaki judi yang ditahan dari Jan 22 hingga 28 lalu berusia antara 17 hingga 66 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 22 kaki judi merupakan lelaki, manakala selebihnya wanita.

Jelas beliau, serbuan tersebut telah dilakukan di Bintulu, Sri Aman, Sarikei, Kota Samarahan, Bau, Song, Limbang, Miri, Sibu, Padawan, Bintulu dan Kuching.

“Hasil serbuan, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM2,981 disyaki hasil aktiviti haram tersebut.

“Kesemua peralatan dan barangan yang digunakan untuk perjudian turut dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dev menambah, pihaknya akan terus menggempur pusat-pusat perjudian haram dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu yang masih berdegil menjalankan aktiviti berkenaan.

“Kesemua kaki judi itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perjudian Rumah Terbuka 1953,” katanya. – DayakDaily

Ends