KUCHING, 16 Dis: Seramai 30 orang belia telah menyertai program ‘Ecommerce Through eSports Workshop’ yang diadakan di CityONE-Megamall, Kuching pada 13 hingga 15 Disember 2019.
Penganjur, Koperasi Belia Inovatif Sarawak (KOBIS) menerusi kenyataan media hari ini berkata program tersebut merupakan salah satu inisiatif untuk mendedahkan nilai dan ilmu e-Dagang.
Ia memberi tumpuan kepada golongan belia yang aktif di Sarawak dalam permainan visual maya yang menjadi ikutan seiring dengan kemajuan teknologi pada masa kini.
Golongan belia mampu menerokai ilmu disebalik industri eSports dan meningkatkan pengetahuan dalam perniagaan secara atas talian seterusnya menggunakan platform digital ini untuk menjana pendapatan.
Program telah dilaksanakan sejak awal tahun 2019 di seluruh Sarawak bermula dari Bahagian Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan seterusnya bakal dikembangkan ke bahagian lain.
Sepanjang program selama tiga hari, beberapa aktiviti turut diadakan seperti Mobile Legend Challenge, PUBG Challenge, Dota 2 Tournament, FIFA20 Challenge, CSGO Challenge dan Fruit Ninja Virtual Reality.
Program telah disempurnakan Ketua Penolong Setiausaha, wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Awang Putrayusrie Awang Redzuan. —Dayakdaily.