3 pusat lombong bitcoin diserbu, 172 mesin bitcoin dirampas di Jalan Kuching-Serian

Siasatan dijalankan di lokasi serbuan.

KUCHING, 4 Nov: Sebanyak 172 unit mesin bitcoin dirampas dalam tiga serbuan ke atas tiga unit kedai yang dijadikan pusat melombong bitcoin secara haram semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata ketiga-tiga premis tersebut terletak di Batu 6 1/2 Jalan Kuching-Serian.

Katanya, serbuan ke atas premis pertama telah menjumpai 45 unit mesin bitcoin, dua unit router booster, 1 modem, 1 unit CPU dan 1 unit monitor.


Serbuan kedua telah menjumpai sebanyak 60 unit mesin bitcoin, 3 unit router booster, 1 modem, 1 kipas dan 1 komputer riba.

Manakala serbuan ketiga menjumpai 67 unit mesin bitcoin, 4 unit router booster, 1 modem dan 1 unit komputer.

Kesemua barang-barang kes dibawa oleh pihak Sarawak Energy untuk siasatan dan tindakan di bawah Seksyen 33(3) Ordinan Elektrik Sarawak.

Semasa pemeriksaan dilakukan, didapati kesemua premis tidak berpenghuni.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan. — DayakDaily