3 premis jual logam berharga di Putrajaya diperiksa

Pegawai KPDNHEP memeriksa ketulenan logam berharga di Putrajaya.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 22 Dis: Sebanyak tiga premis yang menjual logam berharga di pusat membeli belah di Putrajaya telah diperiksa untuk menentukan ketulenannya pada 17 Dis lepas.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam berkata, pemeriksaan dilakukan dengan menggunakan alat pengujian ketulenan logam berharga XRF.

“Sebanyak 5 sampel barang berharga telah diuji dengan alat XRF ini di setiap premis terbabit termasuklah cincin, gelang, rantai dan loket yang diperbuat daripada emas dan perak.


“Hasil ujian mendapati, sampel-sampel yang diuji menunjukkan bacaan melebihi daripada standard ketulenan logam berharga yang telah ditetapkan seperti 999 dan 916.6 bagi emas dan 925 bagi perak.

“Berdasarkan sampel-sampel yang telah diuji, tiada pelanggaran atau kesalahan yang dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu tambah Azman, pemeriksaan ke atas alat timbang emas yang digunakan oleh ketiga-tiga premis itu juga masih dalam tempoh penentusahannya.

Katanya, beberapa sampel telah diambil untuk diuji timbangannya dan mendapati timbangan yang diuji adalah sama dengan timbangan yang dinyatakan pada penandaan sampel tersebut.

Dalam pada itu, Azman memaklumkan bahawa sejak Januari 2021 sehingga 19 Dis 2021, sebanyak 3,609 premis yang menjual logam berharga telah diperiksa di seluruh negara.

Manakala sejumlah sejumlah 159 aduan berkaitan logam berharga ini juga telah diterima oleh pihak kementerian.

“Daripada jumlah itu sebanyak lima tindakan kes telah diambil ke atas peniaga yang melakukan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang ini,” katanya. — DayakDaily