3 maut dalam nahas jalan-raya di KM38, Jalan Miri-Bintulu

Kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk proses bedah siasat.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 10 Jun: Seorang lelaki bersama ibunya dilaporkan maut selepas motorsikal yang ditunggang dirempuh sebuah kereta di KM38, Jalan Miri-Bintulu pada malam Rabu (9 Jun).

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, dalam kejadian kira-kira jam 7.18 malam itu, kedua-dua mangsa berusia 26 dan 52 tahun itu meninggal dunia di lokasi nahas akibat parah di kepala dan badan.


Turut terkorban dalan kejadian, pemandu kereta Proton Wira berusia 31 tahun.

Hakemal berkata, kejadian difahamkan berlaki ketika penungang motorsikal dan ibunya yang menunggang motorsikal jenis Yamaha datang dari arah Bintulu ke Miri dirempuh kereta Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.

Katanya, kereta tersebut apabila sampai di tempat kejadian, telah hilang kawalan lalu terbabas masuk ke lorong bertentangan dipercayai laju dan pada masa yang sama telah melanggar motorsikal yang ditunggang mangsa.

Kedua-dua kenderaan terbabas ke tepi jalan, ujarnya.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke jalan raya,” ujar Hakemal.

Ketiga-tiga mayat mangsa dibawa ke bahagian forensik hospital Miri untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat dibawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. — DayakDaily