Oleh Dean Adam
KUCHING, Dis 4: Tiga lelaki maut, manakala 18 orang cedera dalam satu insiden runtuhan siling dipercayai akibat letupan gas di pusat membeli belah City One Megamall di Jalan Song di sini hari ini.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 petang itu, identiti ketiga-tiga mangsa masih belum diketahui.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Khirudin Drahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.37 petang.
Jelas beliau, sepasukan 39 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, BBP Tabuan Jaya dan BBP Padungan telah diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati, 16 mangsa berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan.
“Manakala, dua lagi mangsa yang masih terperangkap di dalam runtuhan bangunan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. — DayakDaily