3 lelaki ditahan bersama dadah bernilai RM425,064 dalam dua serbuan di Miri

Alexson (tiga dari kiri) bersama anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Miri dalam satu sidang media petang tadi (25 Mei 2023) menunjukkan hasil rampasan dalam operasi yang dilakukan semalam.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 25 Mei: Sejumlah dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM425,064 dirampas oleh polis Miri dalam serbuan di dua lokasi berasingan semalam di sini.

Ketua Polis Miri ACP Alexson Naga Chabu, berkata pihak polis turut menahan dua lelaki warga tempatan dan seorang warga asing dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 11 pagi dan 4 petang itu.

Advertisement

“Kesemua suspek yang masing-masing berusia 33, 34 dan 40 tahun kini sedang ditahan reman selama tujuh hari sehingga 1 Jun bagi membantu siasatan polis,” jelasnya dalam satu sidang media petang ini.

Serbuan pertama dijalankan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Miri atas sebuah rumah kosong di Ulu Niah.

“Serbuan kedua dilakukan di sebuah premis kedia di Jalan Bulan Sabit, membabitkan rampasan lima jenis dadah dengan anggaran RM419,724,” jelasnya.

Antara dadah yang dirampas di lokasi kedua adalah dadah jenis Ecstacy (2,000 gram); Ketamine (1,600.8 gram); Erimin 5(62.40g) dan serbuk MDMA (4,700 g).

“Sementara di lokasi pertama, anggota kita merampas dadah jenis syabu dengan anggaran berat sebanyaj 53.40 gram atau RM5,340,” kata Alexson.

Nilai keseluruhan rampas termasuk barangan kemas dari kedua-dua lokasi serbuan adalah sebanyak RM449,124.80.

Alexson berkata, pihaknya percaya dadah yang dirampas adalah bekalan untuk pasaran Miri.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. — DayakDaily

Advertisement